Allah menjadikan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam untuk menjadi penghibur setia Nabi Adam di dalam syurga. Siti Khadijah banyak membantu dalam menyuburkan jiwa dan memberi semangat kepada Rasulullah pada masa awal Islam mula disebarkan ke tengah masyarakat. Kewafatan Siti Khadijah dirasakan sebagai kehilangan besar bagi baginda, sehinggakan tahun kewafatan Siti Khadijah dinamakan 'Tahun Dukacita’.
Demikian peranan isteri sebagai pemulih semangat suami. Bahkan isterilah satu-satunya tempat berhibur suami yang dihalalkan oleh Allah. Para sahabat amat berbahagia apabila isteri yang telah terdidik dengan iman menyambut kepulangan mereka dari medan juang dengan senyum manis.
Siti Fatimah misalnya, walaupun ditinggalkan berbulan-bulan lamanya oleh Sayidina Ali tanpa keperluan rumah yang mencukupi sehingga dikatakan pasangan suami isteri yang paling miskin ketika itu, tetap menyambut kepulangan suaminya dengan penuh riang dan bibir yang dihiasi senyuman manis.
Hakikatnya isteri yang berupaya menggembirakan hati suami akan menjadikan jiwa suami tenang dan tenteram. Sehingga suami yang keluar berjuang, akan mampu memberi yang terbaik untuk Allah dan Rasul-Nya. Tugas suami berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Sebaliknya, jika isteri gagal memainkan peranannya, hal ini boleh menghalang tugas suami dan menyebabkan suami sakit jiwa. Ada isteri yang menekan suami dengan mendesaknya menyediakan sesuatu di luar kemampuan suami. Kepulangan suami dari tempat kerja tidak disambut dengan layanan mesra, sebaliknya belum pun sempat suami meletakkan punggung, dia telah dihujani dengan pertanyaan demi pertanyaan.
Suami pemimpin wanita
Allah telah menetapkan suami sebagai pemimpin bagi keluarganya. Sebagai pemimpin, dia berhak membuat keputusan dan isteri mahu tidak mahu mesti mentaati keputusan itu walaupun bertentangan dengan kehendaknya. Isteri yang mengetahui peranannya yang sebenar, hendaklah berusaha melaksanakan kewajipannya mengikut kemampuan yang ada pada dirinya. Antara hak yang wajib isteri laksanakan:
• Mentaati perintah suami (yang tidak bertentangan dengan syariat)
• Sentiasa malu terhadap suami dan menghormatinya
• Diam tatkala suami sedang bercakap
• Merasa cukup dengan pemberian suami walaupun sedikit
• Tidak meminta-minta sesuatu yang di luar kemampuan suami termasuk perhiasan atau perabot yang mahal-mahal.
• Sentiasa berhias tatkala berhadapan dengan suami
• Tidak keluar rumah tanpa izin suami
• Menghormati keluarga suami dan kaum kerabatnya
• Sentiasa melayan keinginan suami untuk bergurau senda
Demikianlah sebahagian daripada kewajipan isteri terhadap suami. Jika hal ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, insya-Allah tidak timbul masalah yang menyusahkan suami. Sabarnya seorang isteri di dunia akan Allah gantikan dengan ganjaran pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.
Sekiranya isteri boleh berlebih kurang dengan haknya, kerana suami tidak mampu menyediakan segala keperluan rumah tangga, alangkah bahagianya kehidupan mereka. Isteri yang begini akan merasa cukup dengan pemberian suaminya, malah menghargai sungguh-sungguh segala pemberian suami. Sehingga dengan itu akan terasalah oleh suami, isterilah penghibur dan penyubur jiwanya. Di dunia lagi pasangan suami isteri yang begini telah merasai 'syurga yang disegerakan’ sebelum menikmati syurga yang kekal abadi di akhirat kelak.
Petua-petua kebahagiaan rumah tangga
- Menahan rasa marah
Suami isteri yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan masing-masing, sering menghadapi tekanan jiwa yang menyebabkan mudah tersinggung dan marah. Dalam hal ini, Islam menegaskan umatnya agar berusaha untuk menahan marah, sebaliknya banyakkan bersabar dan mudah memaafkan kesalahan pasangan bagi menjamin keharmonian rumah tangga.
Ada beberapa cara untuk seseorang itu menahan marah. Abul Laits meriwayatkan dalam sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Awaslah kamu dari marah-marah, kerana marah itu bererti menyalakan api dalam kalbu anak Adam. Tidakkah kamu melihat seseorang yang marah itu merah matanya dan tegang urat-urat lehernya? Kerana itu apabila seseorang itu merasakan yang demikian, maka hendaklah ia berbaring.”
- Memberi nasihat
Jika suami atau isteri melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan atau sesuatu yang menyinggung perasaan, maka pihak kedua hendaklah memberikan nasihat dan peringatan. Hal ini supaya pihak yang melakukan kesalahan sedar akan kesilapan atau keterlanjuran yang mungkin tidak disengajakan itu, supaya tidak mengancam kestabilan hubungan suami isteri. Firman Allah: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati akan kebenaran serta nasihat-menasihati akan kesabaran.” (Surah Al-Asr).
- Berbincang untuk kedamaian
Sekiranya berlaku perselisihan dan persengketaan yang agak serius, maka hendaklah dicari penyelesaian dengan cara perdamaian melalui perbincangan dalaman bagi menjamin keutuhan rumah tangga. Sekiranya masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan maka perlu dirujuk ke pihak-pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah seperti Penolong Pendaftar Nikah, Pegawai Kaunseling, Pegawai Tadbir Agama dan sebagainya.
- Menghindari perceraian
Apabila perselisihan tidak dapat diselesaikan janganlah suami bertindak terburu-buru untuk menceraikan isteri kerana keputusan sedemikian tidak dapat menyelesaikan masalah. Mereka sewajarnya melihat saat-saat bahagia yang pernah dilalui bersama. Fikirkan risiko yang perlu dihadapi serta kesannya terhadap masa hadapan anak-anak.
- Hindari sifat buruk sangka
Suami isteri seboleh-bolehnya hendaklah menghindari perasaan buruk sangka bagi menjamin keharmonian rumah tangga. Sifat cemburu atau mencari-cari keburukan pasangan dan sebagainya perlulah dielakkan sama sekali. Jika sekiranya perasaan buruk sangka wujud dalam diri, maka dikhuatiri akan merosakkan rumah tangga dan besar kemungkinan akan mengakibatkan porak-peranda dan perceraian.
- Menghindari pertikaian
Pertikaian dalam rumah tangga merupakan suatu perkara yang lumrah. Tetapi pertikaian yang kerap boleh menjejaskan hubungan suami isteri. Setiap pihak hendaklah mempunyai sifat saling hormat-menghormati dan saling menyayangi, ikhlas dan bertanggung jawab dan juga semua pihak sanggup mengalah supaya suasana rumah tangga tetap harmoni.
- Menyesuaikan diri dengan pasangan
Setiap pasangan mestilah menyiapkan mental dan fikiran yang sesuai dengan keadaan pasangan masing-masing.
Mereka perlu meneliti secara baik keperibadian pasangan hidup agar dapat menyesuaikan dan memahami kehendak dan keperluan masing-masing.
- Berbincang dalam memenuhi sesuatu keinginan
Setiap pasangan harus berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam memenuhi keinginan masing-masing. Hal ini perlu supaya tidak timbul salah faham dan perasaan tidak puas hati di atas tindakan sebelah pihak sehingga boleh menimbulkan ketegangan, krisis dan tekanan perasaan sehingga membawa kepada suasana yang tidak harmoni dan krisis kepercayaan.
- Menukar aktiviti
Bagi memastikan hubungan suami isteri berada dalam paras yang sewajarnya maka digalakkan supaya sentiasa menukar aktiviti harian bagi merangsang hubungan kasih sayang dan suasana harmoni dapat terus dikekalkan sepanjang masa.
- Meminta nasihat orang lain
Sekiranya menghadapi masalah sama ada masalah peribadi, keluarga dan sosial, maka dianjurkan agar mendapatkan bantuan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang dikenal pasti mampu untuk membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi, sekiranya tidak dapat diselesaikan secara dalaman. Ini selaras dengan saranan yang dianjurkan dalam al-Quran surah An-Nahl: 43: Maksudnya: “Bertanyalah kepada orang yang pakar sekiranya kamu tidak mengetahui.”
Petikan daripada Nur, April 2004
Thursday, July 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment